October 14, 2011

Sumbangan Belia Dalam Pembangunan Negeri

Wajah ceria para belia bersama-sama Ketua Menteri Sarawak
(YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud) dalam program belia anjuran
Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM Sarawak) dan Institut Pembangunan Sarawak (SDI).

Menurut takrifan Kementerian Belia dan Sukan, golongan belia merujuk kepada mereka yang berumur diantara 15-40 tahun dan jumlah belia di Sarawak merangkumi 30% iaitu kira-kira 750,000 orang daripada 2.5 juta penduduk Sarawak (Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, 2010).

Statistik ini menunjukkan lebih daripada suku penduduk Sarawak terdiri daripada golongan belia yang berpontensi dibentuk untuk menjadi pemimpin masa depan negara yang berwibawa.

SUMBANGAN BELIA SARAWAK

Salah satu matlamat Wawasan 2020 adalah untuk masyarakat antarabangsa mengenali dan menghormati masyarakat Malaysia melalui usaha kecemerlangan di dalam pelbagai bidang. Belia di negeri ini tidak terkecuali dalam meningkatkan imej negara contohnya dalam bidang sukan apabila mereka mampu mengharumkan nama negara di persada dunia.

Bryan Nickson Lomas, penerjun negara dan juga Mohamad Azlan Iskandar, pemain squash negara adalah antara anak Sarawak yang telah menempa nama di kejohanan antarabangsa.

Sumbangan sebegini mampu menyumbang ke arah pembangunan belia dalam menentukan hala tuju dan masa depan negara. Pencapaian mereka dalam mengharumkan nama negara amat membanggakan dan membolehkan mereka bersaing secara sihat dengan belia antarabangsa.

KEMAHIRAN TEKNIKAL DAN BELIA

“Sektor teknikal akan memberi ganjaran lebih besar kerana pembangunan Sarawak yang seterusnya adalah di bawah SCORE, akan bergantung sepenuhnya terhadap kejayaan Sarawak melancarkan industri berat”. (Utusan Borneo, 4 Oktober 2011)Kata-kata Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud ini menunjukkan bahawa belia yang berkemahiran dalam bidang teknikal amat diperlukan kerana mereka merupakan jentera yang menjana ekonomi Sarawak pada masa akan datang.

Koridor Tenaga Yang Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE), dengan industri – industri yang dibawa masuk oleh pelabur antarabangsa menawarkan banyak peluang pekerjaan dari peringkat pengurusan kepada peringkat teknikal. Kesemua peluang ini memerlukan pelbagai kelulusan akademik dan kemahiran teknikal yang boleh diisi oleh belia, khususnya belia dari Sarawak.

Banyak institusi – institusi yang menawarkan kursus teknikal di Sarawak telah membuka peluang pendidikan yang relevan dengan kehendak semasa, bukan sahaja kepada mereka yang berpendidikan tinggi, malah juga kepada belia yang berpendidikan rendah.

Dalam hal ini, sokongan daripada ibu bapa juga adalah penting supaya anak – anak mereka menanam minat untuk berkecimpung dalam bidang teknikal yang mampu memberi sumber pendapatan tinggi.

MERAPATKAN JURANG GENERASI DAHULU DAN SEKARANG

Selain itu, suara dan pendapat daripada golongan belia juga adalah penting kerana mereka boleh menyuarakan idea serta pendapat yang akan memberi manfaat kepada proses pembangunan negeri.

Program anjuran Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM Sarawak) dan Institut Pembangunan Sarawak (SDI) iaitu, Sesi Dialog Belia bersama Ketua Menteri Sarawak, telah memberi peluang kepada para belia di empat bahagian di Sarawak iaitu Kuching, Sibu, Miri dan Mukah untuk mengemukakan pelbagai jenis soalan dan memberi maklum balas terhadap isu-isu pembangunan semasa di Sarawak.

Belia berkeyakinan memberi idea dalam meningkatkan pembangunan belia.

Menerusi sesi –sesi dialog tersebut, antara lain, golongan belia telah mengutarakan persoalan – persoalan yang berkenaan dengan perpaduan dan keharmonian negeri, peluang pekerjaan bagi golongan yang berpendidikan rendah, serta langkah-langkah kerajaan untuk menarik minat belia melibatkan diri dalam SCORE.

Program Bicara Tokoh, anjuran AZAM Sarawak pada 14 Julai yang lepas adalah salah satu usaha untuk merapatkan jurang antara generasi dahulu dan sekarang.

“Penduduk terpaksa menggali lubang setinggi 10 kaki di bawah rumah untuk menyelamatkan diri dan keluarga daripada terkena tembakan”. Pernyataan oleh Dato Sri Dominic Dago, salah seorang penerima anugerah Tokoh Kemerdekaan tahun 2010 ini menceritakan semula pengalaman beliau ketika menjadi wakil rakyat ketika itu. Ini dapat kita bayangkan situasi kesusahan dan ketakutan yang perlu masyarakat lalui sebelum mencapai kemerdekaan.

Kita bersyukur kerana tidak perlu melalui perit dan kesusahan yang dialami mereka, maka adalah perlu untuk semua lapisan masyarakat bersatu-padu mengekalkan keharmonian negeri untuk memastikan proses pembangunan yang lancar. Program Bicara Tokoh ini juga telah memberi inspirasi kepada Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang (IPGKBL) untuk menganjurkan Wacana Tokoh bersama pihak AZAM Sarawak pada 27 Julai yang lepas. Antara lain, objektif program tersebut adalah untuk menghargai perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan serta mengukuhkan hubungan etnik di Malaysia amnya dan Sarawak khasnya.

Pengetahuan tentang sejarah negara penting dalam memantapkan pembangunan belia.

RUMUSAN
Golongan belia sering dilaungkan sebagai pemimpin masa depan negara. Peranan dan sumbangan mereka amat penting dalam mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum di samping menjadi tonggak kepada pentadbiran dan kepimpinan negara.

Oleh itu, adalah penting untuk semua pihak, sama ada pihak kerajaan, badan bukan kerajaan dan masyarakat untuk memastikan belia dipimpin dengan sebaik – baik nya dan para belia pula harus melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan yang tinggi, kemahiran yang relevan untuk pembangunan ekonomi di samping berpegang pada nilai – nilai yang boleh menyumbang kepada kestabilan sosial di negeri ini.

Rencana ini disediiakan oleh Nursyuhada binti Mohd Aris merupakan Pegawai Komunikasi (Pelatih Program Latihan Pemerkasaan Keupayaan Siswazah di Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM Sarawak). Nota Pemansang merupakan rencana terbitan AZAM Sarawak dengan kerjasama Utusan Sarawak yang mengetengahkan isu-isu pembangunan semasa. Rencana ini akan diterbitkan dua minggu sekali pada setiap hari Selasa dalam ruangan Stail Pembangunan.

(extracted from the article which was published in Utusan Sarawak on 12 October 2011 with the permission from AZAM Sarawak)

No comments:

Post a Comment